>
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Friday, 4 April 2014

Tazkirah Jumaat 07 - Larangan Melihat Aurat Wanita

Assalammualaikum,

Semoga kita semua mendapat manafaat daripada artikel di bawah, In Shaa Allah.  Semoga kita terus berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan mengikut serta mematuhi syariat yang telah ditetapkan ke atas kita sebagai seorang hamba Allah s.w.t.

----------------0----------------

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda, “Seorang lelaki tidak dibolehkan melihat aurat lelaki lain dan wanita melihat aurat wanita. Dan tidak boleh seorang lelaki tidur dalam satu selimut dengan lelaki lain begitu juga dengan wanita”.

Imam Nawawi mengatakan ia merupakan larangan haram hukumnya apabila di antara keduanya tiada pemisah. Ia menunjukkan larangan penyentuhan aurat antara bahagian tubuh baik lelaki mahupun wanita. Hal itu telah menjadi kesepakatan para ulamak. Banyak orang menganggap ia suatu perkara remeh di mana ramai orang yang mandi dalam satu bilik mandi. Kerana itu, hendaknya setiap orang menjaga pandangan, tangan dan anggota tubuh dari aurat orang lain, serta memelihara auratnya jangan sampai dilihat dan disentuh orang lain. Dan apabila melihat orang yang mengabaikan hal itu, maka hendaklah mereka menjauhi dan memperingaatkannya.

Larangan ini juga merangkumi tidur seorang wanita dengan wanita lain dalam satu tempat tidur tanpa berpakaian sehingga mengakibatkan aurat kedaunya tersentuh atau terlihat. Ia termasuk dalam perbuatan haram dan merupakan langkah awal kepada perkara maksiat.


Batasan aurat yang harus ditutupi oleh wanita Islam bagi wanita Islam lain adalah dari pusat hingga ke lutut. Manakala dengan wanita bukan Islam pula sama seperti aurat wanita dengan lelaki yang bukan mahram.

Tetapi banyak wanita yang menganggap perkara ini remeh atau tidak mengambil tahu langsung. Banyak terjadi seorang wanita Islam dengan tidak malu membuka auratnya dihadapan teman baiknya kerana menganggap mereka bersamaan jantina. Bukan mustahil juga ada dikalangan mereka yang membantu rakannya mencukur bulu kakinya bahkan bulu kemaluannya.

Semua itu merupakan perbuatan yang jelas dilarang syariat. Wanita mengangkat darjat wanita di tempat yang tinggi. Bukan sekadar di hadapan lelaki bahkan di kalangan kaum sejenis mereka juga mempunyai adab-adab yang perlu diikuti.

Source: al-Muslimah, BIL 228, SAFAR – RABIUL AWAL 1432 / Pic : Credit to Desert-Winds

Friday, 21 March 2014

Tazkirah Jumaat 06 - Sabar & Redha

Assalammualaikum,

Sempena Jumaat penghulu segala hari, i nak kongsi renungan ringkas...Semoga dapat membantu menjalani kehidupan harian kita apabila di uji dengan perkara-perkara yang menyedihkan. In Shaa Allah semoga kita semua dapat mengambil iktibar. 

Friday, 14 March 2014

Tazkirah Jumaat 05 - Kehebatan Teknologi Ilahi Tiada Tandingan

Assalammualaikum :)
Semoga kita semua diberkati di hari Jumaat, penghulu segala hari. Sama-samalah kita semua berdoa semoga bencana yang menimpa negara kita - Kehilangan Pesawat MH370 berakhir baik. 
Saya ingin berkongsi artikel di bawah yang saya baca di sebuah akhbar pagi tadi. Semoga dapat memberikan pencerahan dan manfaat kepada semua.  In Shaa Allah.
 --------------------------
Mana yang lebih hebat, sains atau teknologi manusia atau teknologi Tuhan? Bagi Stephen Hawking, seorang ahli fizik dari Universiti Cambridge, jawapannya jelas. Sains mengatasi segala-galanya. Dalam satu ceramahnya bertajuk ‘Origin of the Universe’ di California pada April 2013, beliau berkata, kejadian alam semesta ini tidak memerlukan Tuhan, kerana Dia tidak berperanan dalam ciptaan alam semesta dan pengurusannya. Kepercayaan ini juga dipegang oleh Richard Dawkins, seorang ateis yang tidak percaya pada agama dan Tuhan (lihat The God Delusion, 2006). Beliau dengan angkuhnya mendakwa kepercayaan pada agama menjadikan manusia dungu kerana agama mematikan kreativiti akal manusia.
Islam tidak menolak sains dan teknologi. Pada pandangan Islam, fenomena sains selari dengan sunnatullah atau ‘law of nature’ iaitu ketetapan yang dianugerahkan oleh Allah SWT pada setiap ciptaan-Nya. Api membakar, air dapat menghilangkan dahaga, angin kering sifatnya dan sebagainya.
Sunnatullah ini dijelaskan dalam al-Quran seperti firman Allah ‘dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.’ (Yasin: 38). Manusia pula dilantik oleh Allah sebagai khalifah-Nya dan dia diberi kapasiti ‘taskhir’ iaitu keistimewaan untuk mengurus, mentadbir, memanfaat dan memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin, supaya kelangsungan alam ini dapat dikekalkan. Kerja mengurus ini pula satu ibadah pada-Nya, bila ia dilakukan mengikut tuntutan dan peraturan-Nya. Indah tiada tara Jadi, ini bermakna selain kuasa teknologi yang diciptakan manusia, kita juga beriman bahawa terdapat satu lagi teknologi dan kuasa ‘quwwah’ yang lebih lebat daripada teknologi manusia, iaitu teknologi Allah atau teknologi Ilahi. 

Kehebatan teknologi Ilahi dapat dilihat dengan jelas dalam alam ini. Bagaimana alam semesta ini diciptakan dengan penuh keindahan dan ia diurus dengan baik, penuh dengan keseimbangan, harmoni, tersusun dan terurus dengan baik tanpa konflik dan ketidakseimbangan atau ‘disharmony’. 

Keharmonian ini menunjukkan alam semesta taat dan patuh pada Allah. Maknanya, mereka juga beribadat pada Allah dengan cara mereka tersendiri. Kehebatan teknologi Allah dalam aspek ini dikenali dalam ilmu tauhid sebagai manifestasi sifat al-Jamal iaitu keindahan yang tidak ada taranya. Kehebatan teknologi Ilahi juga dapat dilihat hasil manifestasi sifat al-Jalal-Nya. Iaitu kuasa musnah-Nya. Tadi kita lihat daripada aspek kuasa jadi-Nya atau ‘the power of making’. 

Allah juga mempunyai kuasa musnah atau ‘the power of destruction’ yang dapat dilihat daripada fenomena kejadian letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut, tsunami dan sebagainya. Bila Allah menggunakan kuasa teknologi al-Jalal-Nya, seluruh kekuatan teknologi manusia menjadi tidak berguna. Sesungguhnya, kekuatan teknologi Allah mengatasi segala kehebatan teknologi manusia. Api jadi sejuk Lihat bagaimana teknologi Allah dapat menyelamatkan Nabi Ibrahim AS daripada api yang marak membakar seperti dijelaskan dalam al-Quran ‘Hai api, jadikanlah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.’ (al-Anbiya: 96). 

Teknologi Ilahi juga berlaku pada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengembara ketika Israk dan Mikraj dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan menghadap Hadrat Ilahi di Sidratul Muntaha, dan baginda berpatah balik ke Makkah pada malam yang sama. Sedangkan mengikut perkiraan, untuk sampai ke Jerusalam akan mengambil masa tiga bulan pada masa itu. Tapi dengan teknologi Ilahi, ia boleh berlaku dalam satu malam saja. Dengan teknologi Ilahi juga, Nabi Musa diberi mukjizat membelah lautan untuk menyelamatkan diri dan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Begitu juga dalam fenomena lain.

Jadi dengan izin Allah Hakikatnya, itu yang terjadi dengan izin Allah. Bahkan dengan teknologi yang ‘advanced’ datang daripada pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih belum ditemui, walaupun usaha mencari dilakukan dari udara, darat dan lautan. Ini jelas, kepercayaan Hawking mengenai kehebatan sains dan teknologi itu ada hadnya.

Ia bukan segala-galanya. Bahkan, kehebatan teknologi manusia menjadi tidak bermakna apabila berhadapan dengan teknologi Ilahi dan takdir-Nya. Sebagai insan yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya, kita perlu berdoa pada Allah dan terus berusaha. Dan ingatlah bahawa Dialah yang mempunyai kuasa atas segala sesuatu. ‘Lahaula wala quwwata illa billah’ tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Semestinya, kehebatan teknologi Ilahi ini manifestasi ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ilmu-Nya tidak tertakluk pada masa seperti manusia. Dia mengetahui perkara yang lalu, sedang berlaku dan akan berlaku dengan jelas. Tidak ada satu perkara pun yang terlindung daripada pengetahuan-Nya. Firman Allah ‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (al-Hadid: 3). 
Dalam ayat lain, Allah berfirman ‘Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu.’ (al-Fussilat: 54). Bahkan teknologi Ilahi dapat mengetahui perkara yang tersembunyi dalam hati manusia ‘Katakanlah wahai Muhammad, Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahui; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’ (al-Imran: 29). 
Jelas, bahawa teknologi ciptaan manusia ‘insaniyyah’ ini ada hadnya. Kesedaran kehebatan teknologi Ilahi ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam jiwa insan dan mengukuhkan lagi keimanan dan akidahnya pada Yang Maha Esa seperti disebutkan dalam al-Quran ‘Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’ (al-Imran: 190-191).
Kehebatan teknologi Ilahi ini juga dapat dilihat dalam kejadian kehilangan pesawat MH370 pada 9 Mac baru-baru ini. Sudah masuk hari keenam, ia masih belum ditemui. Pakar penerbangan berpendapat tidak mungkin pesawat secanggih itu boleh hilang begitu saja. Dari segi teorinya, ia satu perkara yang mustahil.
Marilah kita sama-sama berdoa semoga pesawat MH370 ditemui secepat mungkin. Wallahu’alam.
Oleh Ahmad El-Muhammady - Penulis sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Friday, 7 March 2014

Tazkirah Jumaat 04 - Kesilapan Umat Islam Di Hari Jumaat

Assalammualaikum W.B.T,

I nak kongsi satu artikel dan diharap semoga kita semua mendapat manfaat.

MINTALAH AMPUN KEPADA ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK PERNAH JEMU UNTUK MEMBERI AMPUN.

Daripada Abu Sa’id al Khudri bahawa ia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata kepada Tuhannya: ‘Demi keperkasaan-Mu dan keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan Adam selama roh masih berada dalam jasad mereka.’ Allah SWT menjawab: ‘Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mana mereka meminta keampunan daripada-Ku.’”(Hadis Qudsi), 
(Hadis Riwayat Ahmad)

KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. 

Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. 

Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

"Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat)"

Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

Ertinya : "Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua". (Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang. Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :
  • Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.
  • Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.
  • Ketiga: Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.

13 April 2012 (21 Jamadil Awal 1433H) - MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW (13) Oleh Ustaz Mohamad Razi Bin Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur.

Friday, 15 November 2013

Tazkirah Jumaat 03 - Adab Bergurau

Assalammualaikum W.B.T,

Artikel ini adalah salah satu himpunan tazkirah yang diterima melalui email dan berada di dalam simpanan saya. Jom kita baca artikel mengenai adab bergurau ini. Kadang-kadang gurauan kita bersama kawan atau saudara secara berlebihan dan ada ketika gurauan itu membuatkan mereka berkecil hati. Semoga kita mendapat manfaat daripada pembacaan ini, In shaa Allah.



Selain mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai 'Al-Mizah'.

Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170).

Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun."

Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa. Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman. Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.

Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang daripada iman."

Dalam sabda lain, baginda menyatakan; "Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya."

Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya. Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan dengan kehendak Islam.

Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya." (al-Hujurat: 11).

Jadi elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.

Pic - Courtesy of Google

Friday, 1 November 2013

Tazkirah Jumaat 02 - Doa Keluarga

Assalammualaikum W.B.T,

I nak kongsi satu tazkirah ringkas yang dihantar oleh my sister melalui email May lepas. Dato Dr. Fadzilah Kamsah pernah berkata " setiap pagi sedekahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu ( tak kira masih hidup @ mati ) nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu..."

Di dalam Surah Al-Isra, ayat 24 ada dinyatakan "Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah untuk mereka, dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." 




Berdasarkan Hadith Nabi
  • "Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tua nya dalam sehari"
  • "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." 

Kesimpulan
  • Jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada )
  • Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar mereka berubah)
  • Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah
  • Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh2. ..tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita , termasuk guru2 kita dan mereka yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar2 bersungguh2)
  • Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah

Sebagai anak, wajib kita mendoakan kedua ibu bapa, menjaga hati dan memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan mereka. Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Kita sebagai anak tidak akan termampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun kita berbakti sepanjang hayat. Doakanlah mereka walaupun mereka telah tiada.

Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris yang boleh menyebabkan kita jatuh dalam kategori syirik....Apa yang kita perlu lakukan ialah mendoakan ibu bapa kita setiap hari. Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (e.g. makan, kesihatan, ilmu dsb nya..)

Semoga entry hari ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada yang sudi membaca, Insyallah.

Friday, 25 October 2013

Tazkirah Jumaat 01 - Kematian Hati Muslim

Assalammualaikum W.B.T,

I dapat artikel Kematian Hati Muslim melalui email. Memandangkan hari ni hari Jumaat, terpikir pulak nak mulakan Tazkirah Jumaat, semoga istiqamah Insyallah. Semoga artikel nih dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca. Jom baca!

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah S.W.T bermaksud: “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.



Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 74).

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati?

Hati mati disebabkan perkara berikut:
  • Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar ayat 22)
  • Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
  • Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  • Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
  • Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. 

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya ; "Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa".

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
  1. Zuhud dengan dunia
  2. Zikrullah
  3. Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Nota: Pic from Google

Thursday, 24 October 2013

Bersedekah Mengikut Kemampuan

Assalammualaikum W.B.T,

I ada satu artikel pasal bersedekah.  Dah lama dah i dapat artikel nih. I nak kongsi kat sini hari nih. My dad selalu cakap, bersedekahlah walaupun sedikit.  Tapi kalau tak mau sedekah, tutup mulut jangan komplen cakap itu ini. 

Sekarang nih kan ramai cacat penglihatan datang ke restoran menjual tisu. Mereka ini selalunya akan dibawa oleh orang lain, memimpin tangan dari satu meja ke satu meja.  To me that is not meminta sedekah.  Itu usaha namanya walaupun hanya menjual tisu. Kebanyakannya pengunjung restoran memberi wang tanpa mengambil tisu. Alhamdulillah.

Beralih pulak yang pada yang cacat kakitangan dan kebanyakannya meminta sedekah di pasar malam. Ada juga yang 'bogus' mcm yang pernah Mazidul Akmal dedahkan di blog beliau dulu. Pengemis ini tidak cacat tapi berlakon cacat. Ramai yang dah tertipu. 

Bagaimana pulak dengan adik-2 yang dikerah menjual barang? Ini satu lagi perkara yang menghiris hati i. Setiap kali i pergi makan di satu restoran nih, adik yang sama jugak akan datang ke situ. Adik nih cakap dia dan rakan-rakan dari Kedah datang dan tinggal sebulan di PD...hmmmm! entahlah. Kesian i tengok. Kalau dah datang mintak derma setiap hari siang & malam, bila masanya belajar di sekolah dik? Tak apalah, selagi mampu I bagi, tak mau komen. Selebihnya tuh urusan cikgu sekolah tuh dengan Allah. Tangan yang memberi itu lebih baik dari yang menerima...Insyallah.

Memang tak suka dengar orang ngomel bla bla bla bila tak mau sedekah. Kalau tak mau tutup mulut, diam jer.  Eh! Panjang pulak i dok bebel. Jom layan artikel tuh :) 

Selamat membaca dan semoga kita mendapat manfaat.



Hadiah Allah ke atas mukmin ialah dengan mendatangkan peminta sedekah di depan pintu rumahnya. Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda. Maka banyakkanlah bersedekah kerana sedekah menyejukkan Alam Barzakh yang panas. Sedekah juga menutup pintu keburukan dan sedekah tidak akan mengurangkan harta sebaliknya ia menambahkan harta.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hadiah Allah ke atas mukmin ialah peminta sedekah di depan pintu rumahnya” (Riwayat Khatib)

Peminta sedekah yang datang ke rumah mukmin (orang-orang Islam yang baik) ialah pemberian daripada Allah kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk keluar mencari dan memberi sedekah. Maka janganlah lepaskan peluang ini untuk mendapatkan rahmat Allah. Berilah sedekah mengikut keikhlasan hati kita. Tanyallah hati sebanyak mana yang kita ikhlas untuk bersedekah. 

Semasa bersedekah, berkemungkinan kita akan tertipu. Penipuan yang dilakukan itu adalah di antara peminta sedekah dengan Allah, dan “dia punya pasallah”. Kita yang memberi adalah kerana Allah semata-mata.

Dalam hadis juga ada disebut : “Jika peminta sedekah itu datang dengan menaiki tunggangan; terpulang kepada kamu, kalau hendak beri maka berilah dan jika tidak, jangan berkata apa-apa”.

Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda (Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib r.a., dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, Abu Daud, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu Ya’la dan al-Thabarani,) Jika peminta sedekah datang dengan menaiki motor atau kereta, kemudian meletakkan (parking) kenderaanya di tempat yang jauh, maka terpulanglah kepada kita samada hendak memberi sedekah atau tidak. Jika tidak mahu beri sedekah, berdiam sahajalah dan janganlah pula mengata-ngata orang itu. Mungkin juga dia kehabisan wang untuk mengisi minyak motor atau keretanya.

Banyakkan Bersedekah
" …..dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sedekah Menyejukkan
Dalam hadith lain disebut, “banyakkanlah sedekah kerana ia menyejukkan kamu di Alam Barzakh”. Salah satu diantara 7 manusia yang dilindungi panas di hari Kiamat ialah “Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi (disedekahkah) oleh tangan kanannya”.

Sedekah Menutup Pintu Keburukan
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sedekah akan menutup tujuh puluh pintu keburukan“ (HR.Thabrani). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sedekah dapat menolak 70 macam bencana, yang paling ringan diantara bencana itu adalah penyakit kusta dan sopak“ (HR.Thabrani).

Tidak Berkurang Harta Tetapi Bertambah
Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah”(Hadis riwayat Tirmidzi). Sebaliknya Allah akan mengganti setiap yang disedekahkan atau yang dikeluarkan zakat. Saba [39] : Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun di darat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

Orang Yang Berjaya Suka Bersedekah
"…sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". (Al-Hashr:9)

Namun Berpada-padalah Dalam Memberi
Furqan [67] : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

Nota: Pic dari Google 

Saturday, 19 October 2013

Tujuh Faktor Kenapa Penyakit Hasad Dengki Menguasai Diri Manusia

Assalammualaikum W.B.T,

Artikel nih i dapat melalui email years ago and i thought of sharing this in my blog. Semoga kita semua dapat menjadikan ia sebagai penduan, Insyallah.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Hasad dengki adalah satu sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya ia tidak meredai ketentuan Allah S.W.T yang telah dikurniakan sesuatu kelebihan atau nikmat kepada seseorang dikalangan hamba-hamba-Nya.

Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai penyakit hasad dengki.
  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut. Antara lain :-

1.     Perasaan Permusuhan dan Kebencian
2.     Merasa Diri Mulia
3.     Takabbur
4.     Ujub
5.     Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
6.     Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
7.     Busuk Hati.

Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.

Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A’raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : ”Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Merasa Diri Mulia
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.

Ketiga : Takabbur
Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

Allah S.W.T. berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : “Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”

Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia?

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina.

Keempat : Ujub (bangga diri)
Merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.

Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.

Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

Pernah Allah Subhanahu Wata’ala jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa takjub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Quran :-

“Bukankah kamu tak lebih dari manusia(biasa) seperti kami juga?”

Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”

Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah Subhanuahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.

Kelima : Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

Keenam : Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingnya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan – bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu – telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita kalau tandinganya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.

Ketujuh : Busuk Hati
Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita buangkan sifat hasad dengki ini samaada di dalam hati atau di dalam tindakkan dan amalan kita. Sifat yang keji ini bukan saja mendapat kebencian manusia tetapi yang paling penting sifat ini di benci oleh Allah S.W.T. Hidup di dunia ini adalah sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi maka tinggalkanlah sifat hasad dengki ini kerana sesiapa yang menuruti sifat ini dia sedang mengikut hawa nafsunya dan mengikut bisikan syaiatan dan akan mendapat azab seksaan dihari akhirat nanti.

Oleh: Ustaz Abu Basyer