Assalammualaikum W.B.T,
Artikel ini adalah salah satu himpunan tazkirah yang diterima melalui email dan berada di dalam simpanan saya. Jom kita baca artikel mengenai adab bergurau ini.
Kadang-kadang gurauan kita bersama kawan atau saudara secara berlebihan dan ada
ketika gurauan itu membuatkan mereka berkecil hati. Semoga kita mendapat manfaat daripada pembacaan ini, In shaa Allah.
Selain mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh
lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar,
melawak, olok-olok dan berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus
Salikin menyebut gurauan sebagai 'Al-Mizah'.
Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan
engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus
Salikin: 170).
Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana
ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh
'menanggalkan' hati. Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau
mendorong kepada perbuatan derhaka.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud;
"Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya
tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun."
Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya
daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa. Kata-kata gurau senda
sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan
ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk
mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal
dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar
boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah
alamat atau tanda orang yang beriman. Yang paling mengaibkan, sebahagian
daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan
semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.
Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang
daripada iman."
Dalam sabda lain, baginda menyatakan; "Malu dan iman
seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah
kedua-duanya."
Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang
perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya. Namun begitu,
bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau
mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan
dengan kehendak Islam.
Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu
adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya."
(al-Hujurat: 11).
Jadi elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan
atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.
Pic - Courtesy of Google
No comments:
Post a Comment