Assalammualaikum W.B.T,
I nak kongsi satu artikel dan diharap semoga kita semua mendapat
manfaat.
MINTALAH AMPUN KEPADA ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK PERNAH
JEMU UNTUK MEMBERI AMPUN.
Daripada Abu Sa’id al Khudri bahawa ia mendengar
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata kepada Tuhannya: ‘Demi
keperkasaan-Mu dan keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan
Adam selama roh masih berada dalam jasad mereka.’ Allah SWT menjawab: ‘Demi
keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mana
mereka meminta keampunan daripada-Ku.’”(Hadis Qudsi),
(Hadis Riwayat Ahmad)
KESILAPAN UMAT ISLAM PADA HARI JUMAAT
Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam
disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping
memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat
Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki
yang dikurniakan oleh Allah.
Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil
terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada
mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka
diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah.
Berbeza
dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan ruang yang
cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun
termasuklah berniaga dan berjual beli. Namun begitu, terdapat beberapa
keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang
bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah
S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:
"Yang Bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu
pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli
(pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu
mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka
bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan
carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T
banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di
akhirat)"
Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T
terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat
telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan
kefarduan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang
kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal
dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli
dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie
menyebut:
Ertinya : "Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman
jualbeli selepas azan yang kedua". (Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari
Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya aktiviti
jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih
tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku
sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si
peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada
waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli
tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang
menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.
Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat
sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang
berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu
kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi
Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat
yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan,
mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad)
bersendirian tegak berkhutbah.
Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain
ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang
itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan
antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah
menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan
Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.
Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak
berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh
khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih
menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang
berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.
Allah S.W.T memberi ganjaran yang besar kepada mereka
yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari Jumaat terutama sebelum
khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat
malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam /
khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka
dan datang untuk mendengar khutbah.”
Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual,
pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu
yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia melibatkan hukum haram
dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang. Justeru beberapa pendekatan
dicadangkan :
- Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditangguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.
- Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.
- Ketiga: Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah.
13 April 2012 (21 Jamadil Awal 1433H) - MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW (13) Oleh Ustaz Mohamad Razi Bin Zulkifli, Bentong, Pahang Darul
Makmur.
No comments:
Post a Comment