>

Friday 14 March 2014

Tazkirah Jumaat 05 - Kehebatan Teknologi Ilahi Tiada Tandingan

Assalammualaikum :)
Semoga kita semua diberkati di hari Jumaat, penghulu segala hari. Sama-samalah kita semua berdoa semoga bencana yang menimpa negara kita - Kehilangan Pesawat MH370 berakhir baik. 
Saya ingin berkongsi artikel di bawah yang saya baca di sebuah akhbar pagi tadi. Semoga dapat memberikan pencerahan dan manfaat kepada semua.  In Shaa Allah.
 --------------------------
Mana yang lebih hebat, sains atau teknologi manusia atau teknologi Tuhan? Bagi Stephen Hawking, seorang ahli fizik dari Universiti Cambridge, jawapannya jelas. Sains mengatasi segala-galanya. Dalam satu ceramahnya bertajuk ‘Origin of the Universe’ di California pada April 2013, beliau berkata, kejadian alam semesta ini tidak memerlukan Tuhan, kerana Dia tidak berperanan dalam ciptaan alam semesta dan pengurusannya. Kepercayaan ini juga dipegang oleh Richard Dawkins, seorang ateis yang tidak percaya pada agama dan Tuhan (lihat The God Delusion, 2006). Beliau dengan angkuhnya mendakwa kepercayaan pada agama menjadikan manusia dungu kerana agama mematikan kreativiti akal manusia.
Islam tidak menolak sains dan teknologi. Pada pandangan Islam, fenomena sains selari dengan sunnatullah atau ‘law of nature’ iaitu ketetapan yang dianugerahkan oleh Allah SWT pada setiap ciptaan-Nya. Api membakar, air dapat menghilangkan dahaga, angin kering sifatnya dan sebagainya.
Sunnatullah ini dijelaskan dalam al-Quran seperti firman Allah ‘dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.’ (Yasin: 38). Manusia pula dilantik oleh Allah sebagai khalifah-Nya dan dia diberi kapasiti ‘taskhir’ iaitu keistimewaan untuk mengurus, mentadbir, memanfaat dan memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin, supaya kelangsungan alam ini dapat dikekalkan. Kerja mengurus ini pula satu ibadah pada-Nya, bila ia dilakukan mengikut tuntutan dan peraturan-Nya. Indah tiada tara Jadi, ini bermakna selain kuasa teknologi yang diciptakan manusia, kita juga beriman bahawa terdapat satu lagi teknologi dan kuasa ‘quwwah’ yang lebih lebat daripada teknologi manusia, iaitu teknologi Allah atau teknologi Ilahi. 

Kehebatan teknologi Ilahi dapat dilihat dengan jelas dalam alam ini. Bagaimana alam semesta ini diciptakan dengan penuh keindahan dan ia diurus dengan baik, penuh dengan keseimbangan, harmoni, tersusun dan terurus dengan baik tanpa konflik dan ketidakseimbangan atau ‘disharmony’. 

Keharmonian ini menunjukkan alam semesta taat dan patuh pada Allah. Maknanya, mereka juga beribadat pada Allah dengan cara mereka tersendiri. Kehebatan teknologi Allah dalam aspek ini dikenali dalam ilmu tauhid sebagai manifestasi sifat al-Jamal iaitu keindahan yang tidak ada taranya. Kehebatan teknologi Ilahi juga dapat dilihat hasil manifestasi sifat al-Jalal-Nya. Iaitu kuasa musnah-Nya. Tadi kita lihat daripada aspek kuasa jadi-Nya atau ‘the power of making’. 

Allah juga mempunyai kuasa musnah atau ‘the power of destruction’ yang dapat dilihat daripada fenomena kejadian letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut, tsunami dan sebagainya. Bila Allah menggunakan kuasa teknologi al-Jalal-Nya, seluruh kekuatan teknologi manusia menjadi tidak berguna. Sesungguhnya, kekuatan teknologi Allah mengatasi segala kehebatan teknologi manusia. Api jadi sejuk Lihat bagaimana teknologi Allah dapat menyelamatkan Nabi Ibrahim AS daripada api yang marak membakar seperti dijelaskan dalam al-Quran ‘Hai api, jadikanlah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.’ (al-Anbiya: 96). 

Teknologi Ilahi juga berlaku pada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengembara ketika Israk dan Mikraj dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan menghadap Hadrat Ilahi di Sidratul Muntaha, dan baginda berpatah balik ke Makkah pada malam yang sama. Sedangkan mengikut perkiraan, untuk sampai ke Jerusalam akan mengambil masa tiga bulan pada masa itu. Tapi dengan teknologi Ilahi, ia boleh berlaku dalam satu malam saja. Dengan teknologi Ilahi juga, Nabi Musa diberi mukjizat membelah lautan untuk menyelamatkan diri dan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Begitu juga dalam fenomena lain.

Jadi dengan izin Allah Hakikatnya, itu yang terjadi dengan izin Allah. Bahkan dengan teknologi yang ‘advanced’ datang daripada pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih belum ditemui, walaupun usaha mencari dilakukan dari udara, darat dan lautan. Ini jelas, kepercayaan Hawking mengenai kehebatan sains dan teknologi itu ada hadnya.

Ia bukan segala-galanya. Bahkan, kehebatan teknologi manusia menjadi tidak bermakna apabila berhadapan dengan teknologi Ilahi dan takdir-Nya. Sebagai insan yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya, kita perlu berdoa pada Allah dan terus berusaha. Dan ingatlah bahawa Dialah yang mempunyai kuasa atas segala sesuatu. ‘Lahaula wala quwwata illa billah’ tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Semestinya, kehebatan teknologi Ilahi ini manifestasi ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ilmu-Nya tidak tertakluk pada masa seperti manusia. Dia mengetahui perkara yang lalu, sedang berlaku dan akan berlaku dengan jelas. Tidak ada satu perkara pun yang terlindung daripada pengetahuan-Nya. Firman Allah ‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (al-Hadid: 3). 
Dalam ayat lain, Allah berfirman ‘Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu.’ (al-Fussilat: 54). Bahkan teknologi Ilahi dapat mengetahui perkara yang tersembunyi dalam hati manusia ‘Katakanlah wahai Muhammad, Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahui; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’ (al-Imran: 29). 
Jelas, bahawa teknologi ciptaan manusia ‘insaniyyah’ ini ada hadnya. Kesedaran kehebatan teknologi Ilahi ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam jiwa insan dan mengukuhkan lagi keimanan dan akidahnya pada Yang Maha Esa seperti disebutkan dalam al-Quran ‘Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’ (al-Imran: 190-191).
Kehebatan teknologi Ilahi ini juga dapat dilihat dalam kejadian kehilangan pesawat MH370 pada 9 Mac baru-baru ini. Sudah masuk hari keenam, ia masih belum ditemui. Pakar penerbangan berpendapat tidak mungkin pesawat secanggih itu boleh hilang begitu saja. Dari segi teorinya, ia satu perkara yang mustahil.
Marilah kita sama-sama berdoa semoga pesawat MH370 ditemui secepat mungkin. Wallahu’alam.
Oleh Ahmad El-Muhammady - Penulis sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

2 comments:

  1. Hye, saya suka baca blog awak, baru-baru ni saya ada buat blog harap awk boleh singgah dan follow blog saya. awksweetgitu.blogspot.com :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. :) thanks taufiq. Nanti i singgah your blog in shaa allah

      Delete