Assalammualaikum W.B.T,
I dapat artikel Kematian Hati Muslim melalui
email. Memandangkan hari ni hari Jumaat, terpikir pulak nak mulakan Tazkirah
Jumaat, semoga istiqamah Insyallah. Semoga artikel nih dapat memberi manfaat
kepada semua yang membaca. Jom baca!
Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan
dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih
lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya
membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit
masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.
Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana
kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya
daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana
bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan
menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana
kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika
itu.
Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang
bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya
setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu
daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus
merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah S.W.T bermaksud:
“Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah
diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka
kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati
keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi
penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu
yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk
ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk
mengamalkannya.
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian
selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada
hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan
ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya.
Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang
Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah
al-Baqarah ayat 74).
Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu
yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana
amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu
hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.
Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan
berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan
malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya
apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita
menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.
Kenapa hati mati?
Hati mati disebabkan perkara berikut:
- Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah
iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras
membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka
yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar
ayat 22)
- Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya
supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan
bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan
tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati
Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda
dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda
dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat
sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura ayat 88-89)
Tanda-tanda hati mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda
hati mati ialah:
- Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
- Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
- Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
- Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
- Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
- Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
- Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
- Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
- Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
- Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Semoga dengan panduan yang di
sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa
yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.
Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam
hikmahnya ; "Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak
merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak
menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa".
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
- Zuhud dengan dunia
- Zikrullah
- Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.
Nota: Pic from Google
perkongsian yang bermanfaat untuk renungan kita semua..
ReplyDeleteMizz Aiza,
ReplyDeleteTerima kasih menjengok rumah i :) thanks