Assalammualaikum W.B.T,
Artikel nih i dapat melalui email years ago and i thought of sharing this in my blog. Semoga kita semua dapat menjadikan ia sebagai penduan, Insyallah.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hasad dengki adalah satu sifat mazmumah
yang dibenci oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya ia tidak
meredai ketentuan Allah S.W.T yang telah dikurniakan sesuatu kelebihan atau
nikmat kepada seseorang dikalangan hamba-hamba-Nya.
Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai
penyakit hasad dengki.
- Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
- Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
- Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan
Imam Al-Ghazali ada disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad
dengki tersebut. Antara lain :-
1.
Perasaan
Permusuhan dan Kebencian
2.
Merasa
Diri Mulia
3.
Takabbur
4.
Ujub
5.
Takut
Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
6.
Ghairah
Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
7.
Busuk
Hati.
Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Ini adalah sebab yang paling banyak
menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas
sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran
alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang
menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki
mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.
Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa
bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Semua manusia pada dasarnya
memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama
tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah
dan senantiasa menjadi pema’af.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah
pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan
orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A’raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
”Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan
hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka
memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang
yang menyakitinya)” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Kedua : Merasa Diri Mulia
Perasaan ini manifestasinya ialah
seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi
dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang
–orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia
bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak
boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah
dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.
Ketiga : Takabbur
Jelasnya seorang itu mempunyai watak
membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan
seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu
mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia
ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut
arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan
mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.
Allah S.W.T. berfirman (di dalam Hadis
Qudsi) : “Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka
barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke
dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”
Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia
dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah
s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di
dalam hati manusia?
Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur
boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan
pandangan yang kecil dan hina.
Keempat : Ujub (bangga diri)
Merasai atau menyangkakan dirinya
lebih sempurna.
Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang
yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih
sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia
menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia
lakukan.
Dengan itu, maka timbullah perasaan
menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu
itu ada kelebihannya.
Pernah Allah Subhanahu Wata’ala jelaskan
kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa takjub dengan diri
mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka
selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Quran :-
“Bukankah kamu tak lebih dari
manusia(biasa) seperti kami juga?”
Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka
berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”
Golongan tersebut merasa aneh melihat
orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang
dekat di sisi Allah Subhanuahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu
mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.
Kelima : Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan
Habuan
Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan
orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa
dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh
membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.
Keenam : Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari
Populariti
Umpamanya seseorang yang bercita-cita
untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingnya dalam salah satu
cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan – bahawa dialah
satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu – telah menguasai
dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di
tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita
kalau tandinganya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.
Ketujuh : Busuk Hati
Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka
ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang
lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah,
sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula
sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang
lain maka ia merasa gembira dan suka hati.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat
hasad dengki ini samaada di dalam hati atau di dalam tindakkan dan amalan kita.
Sifat yang keji ini bukan saja mendapat kebencian manusia tetapi yang paling
penting sifat ini di benci oleh Allah S.W.T. Hidup di dunia ini adalah
sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi maka
tinggalkanlah sifat hasad dengki ini kerana sesiapa yang menuruti sifat ini dia
sedang mengikut hawa nafsunya dan mengikut bisikan syaiatan dan akan mendapat
azab seksaan dihari akhirat nanti.
Oleh: Ustaz Abu Basyer
No comments:
Post a Comment